Syawal Wadah Pererat Silaturahim

Syawal Wadah Pererat Silaturahim


SYAWAL WADAH PERERAT SILATURAHIM
> Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (petikan Berita Harian 30/10/06)
>
>
> HIKMAH terbesar di sebalik pensyariatan ibadat puasa pada Ramadan
>termasuk menyambung silaturahim yang terputus, memberi kemaafan kepada
>orang yang menzalimi dan memiliki sifat memberi kepada orang yang tidak
>pernah memberi. Jelas di sini tiga amalan itu semuanya berkait rapat dengan
>'hablun minannas' iaitu hubungan sesama manusia.
>
> Dalam keadaan umat Islam menyambut Aidilfitri yang ertinya meningkat -
>ia adalah satu momentum yang cukup konkrit dan peluang keemasan bagi
>menjalin kembali tali silaturahim terhadap orang yang memutuskan. Islam
>amat memerintahkan umatnya supaya memelihara baik hubungan silaturahim,
>saling berkasih sayang dan bantu- membantu dalam perkara kebajikan dan
>ketakwaan.
>
> Firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan
>janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu juga; dan hendaklah kamu
>berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim,
>orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan
>sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.
>Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan
>membanggakan diri." (Surah al-Nisa' , ayat 36)
>
> Maksud ayat di atas memperkuatkan lagi kepentingan silaturahim dalam
>Islam apabila ia menduduki tempat ketiga dalam senarai kewajipan yang wajib
>dilaksanakan oleh Muslim selepas mentauhidkan Allah dan berbuat baik kepada
>ibu bapa. Tambahan pula, silaturahim memainkan peranan besar dalam
>kehidupan ummah sejagat. Ia dapat memperkukuhkan tali persaudaraan,
>memantapkan kesatuan, menyatukan kembali salasilah keturunan yang berpecah,
>menghindarkan perpecahan, menguatkan sektor ekonomi umat dan memudahkan
>pencapaian matlamat yang diharapkan.
>
> Tidak ada sebarang masalah sukar apabila semua diselesaikan dengan
>musyawarah dan tidak ada pula musyawarah tanpa silaturahim. Untuk itu,
>silaturahim harus berpaksi pada niat yang tulus ikhlas dan tujuan baik
>tanpa mengambil kira kedudukan dan status sosial sesebuah masyarakat.
>
> Orang kaya tidak segan untuk mengunjungi orang miskin, seorang pemimpin
>pula tidak berasa terhina untuk mendampingi dan bersilaturahim dengan
>rakyat bawahannya dan begitu seterusnya. Tanpa memandang kepada darjat
>keturunan dan kedudukan pangkat, semuanya saling bersilaturahim. Ia kerana
>menginsafi status sosial dalam kehidupan bukanlah ukuran tinggi rendahnya
>martabat manusia. Sebaliknya, yang menjadi ukuran mulia atau hinanya
>manusia ialah ketakwaan dan keikhlasan yang bertapak dalam jiwa Muslim.
>
> Pada Syawal yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar ziarah
>menziarahi, bermaaf-maafan, beramah mesra, memuliakan tetamu dan merapatkan
>silaturahim tanpa mengira darjat dan keturunan. Lebih-lebih lagi melalui
>amalan mengadakan rumah terbuka di kalangan umat Islam ini diharapkan dapat
>meleraikan semua pertikaian dan perselisihan yang terpendam sekian lama. Ia
>sekali gus membuka lembaran baru dalam jalinan hubungan ukhuwah Islam
>sesama insan.
>
> Selepas ini, tiada lagi perselisihan, tidak bertegur sapa dan bermasam
>muka antara ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat taulan.
>
> Di samping itu, sifat memaafkan kepada orang yang berbuat zalim adalah
>perkara amat sukar dilakukan. Hal ini kerana hatinya terluka dan
>perasaannya pula terguris sekian lama oleh orang yang jelas menzaliminya.
>Maka, di sinilah terletaknya kualiti keimanan dan tahap ketakwaan seorang
>Muslim selepas sebulan berada di bawah naungan Ramadan.
>
> Rasulullah bersabda bermaksud: "Maafkanlah kesalahan orang yang bermurah
>hati (dermawan). Sesungguhnya Allah memimpin tangannya jika dia
>tergelincir. Seorang dermawan dekat pada Allah, dekat pada manusia dan
>dekat pula dengan syurga." (Hadis riwayat Tabrani)
>
> Justeru, Syawal adalah wadah terbaik untuk menyemarakkan kembali
>kuntuman kasih sayang dan jalinan ukhuwah yang berkekalan. Bukankah, Syawal
>yang disambut itu adalah simbol kemenangan umat Islam kerana kejayaan
>kembali kepada fitrah iaitu kesucian hati dari akhlak yang mazmumah,
>kesatuan umat sebagai umat terbaik dan perhiasan diri dengan akhlak
>terpuji. Justeru, Syawal adalah lambang persaudaraan, kesucian, kasih
>sayang dan kemenangan manakala rumah terbuka adalah medium terbaik ke arah
>itu.
>
> Selanjutnya, sifat memberi kepada orang yang tidak pernah memberi
>(kedekut) adalah sifat yang amat disanjung Islam, sebaliknya Islam melarang
>keras umatnya bersifat kedekut. Hal ini kerana Rasulullah pernah menyatakan
>dalam satu hadisnya bermaksud: "Jauhilah kekikiran kerana sesungguhnya
>kekikiran itu telah membinasakan umat-umat sebelum kamu." (Hadis riwayat
>Muslim)
>
> Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira dan berseronok tetapi
>biarlah pada kadar tidak membazir dan tidak keterlaluan ketika menyambut
>hari perayaan ini dengan penuh keinsafan. Jangan pula kita terlalu ikutkan
>runtunan hawa nafsu yang sentiasa menyeru umat manusia ke arah pembaziran
>dan perkara melalaikan.
>
> Perlu disedari bahawa pada hari lebaran yang mulia, masih ada insan lain
>tidak bernasib baik dan menderita kesusahan serta dihimpit belenggu
>kemiskinan, kelaparan dan ketiadaan tempat berteduh. Alangkah baiknya jika
>sebahagian nikmat diperolehi setiap Muslim dikongsi bersama oleh insan
>bernasib malang ini. Insaflah bahawa segala nikmat adalah kepunyaan Allah
>dan Allah boleh menariknya pada bila-bila masa dikehendaki-Nya.
>
> Akhirnya, marilah sama-sama kita melaksanakan ketiga-tiga amalan utama
>itu pada Syawal yang penuh keberkatan ini. Semoga madrasah Ramadan yang
>lalu berjaya mendidik kita menjadi Muslim yang beristiqamah dan menjadikan
>Islam sebagai panduan hidup lengkap.
>
>
> Penulis ialah Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Islam Universiti Darul
>Iman Malaysia, kampus Kusza Gong Badak, Terengganu.